Tradisional itu sendiri memegang maksud sesuatu yang lama dan tradisi, warisan atau turun temurun. Dalam arena memanah pada masa kini terdapat dua disiplin memanah iaitu memanah moden dan memanah tradisional.
Panahan tradisional bukan sahaja berbeza dari segi rukun zahirnya malah teknik panahan yang turun temurun diamalkan serta yang lebih utama itu ialah pemahaman tentang pengisian rohani yang terkandung dalam seni memanah itu.
Banyak negara yang mengambil serius dalam membangunkan seni memanah tradisional ini seperti, Turki, Jepun, korea, China, Bhutan, Mongolia, Hungary dan banyak lagi negara jika disebutkan dimana setiap negara ini mempunyai teknik memanah tradisional tensendiri.
Di tanah melayu, catatan sejarah menunjukkan ianya bukan sahaja sejarah yang dilupakan malah seolah-olah hilang sama sekali.Beberapa catatan sejarah termasuk dalam naskhah Sulalatus Salatin dan catatan dari pengembara arab Ibnu Batutah menceritakan sejarah awal memanah tanah melayu adalah pengaruh dari pedagang arab, turki dan parsi.
Selain catatan mengenai penggunaan panah oleh Raja Gangga Shah Johan dalam Perang Gangga Negara, Tun Sri Lanang mencatatkan kemahiran memanah masyarakat Melayu yang disifatkannya sebagai sangat mahir.
Tun Sri Lanang seperti dalam penulisan beliau menceritakan bahawa kemahiran memanah Hang Nadim sangat bagus dan panahannya sangat laju.
Antara kitab rujukan memanah yang ditulis seawal 1368 oleh Taybugha Al-Ashrafi Al-Baklamishi Al-Yunani yang telah diterjemahkan kepada Saracen Archery atau nama asal kitab ini dalam bahasa arab Kitab Ghunyat at-Tullab fi Ma’rifat Rami an-Nushshab, The Complete Manual of Archery for Cadets. (terjemahan dalam bahasa inggeris)Salinan asal sekarang ini berada di British Library UK dalam bahasa arab.
Kitab kedua daripada sumber memanah islam yang ditemui ialah Kitab fi bayan fadhl al-qaws wa-'l-sahm wa-awsafihima. yang ditulis sekitar tahun 1500. Nama pemulis tidak diketahui, hanya dinyatakan penulis berasal dari Utara African, Morocco. Kitab ini telah diterjemahkan oleh Nabih Amin Faris and Robert Potter Elmer pada tahun 1945.
Terjemahan maksud tajuk kitab ini dalam bahasa inggeris ialah A Book On The Excellence of the Bow and Arrow and the Description Thereof.
Satu lagi kitab rujukan yang menerangkan tentang teknik panahan ialah dari kitab Furusiyah Muhammadiyyah karangan Ibnu Qayyum yang baru-baru ini diterjemahkan oleh Habib Qori dari Indonesia. Banyak lagi kitab-kitab yang secara khusus menerangkan tentang teknik panahan tradisional ini.
Menurut kitab-kitab memanah lama yang berasal dari manuskrip lama sejak tahun 1368, 1500 dan kitab-kitab memanah arab, para ahli dalam memanah ini menyimpulkan rukun memanah itu ada 4 perkara asas yang perlu berhubungan antara satu sama lain ibarat hubungan antara busur, tali busur, anak panah dan pemanah itu sendiri. Jika salah satu daripadanya tiada, maka panahan itu tidak dapat disempurnakan.
Rukun memanah
1.Ketepatan
2.Kepantasan
3.Kekuatan tujahan
4.Pertahanan diri (Sifat waspada)
Mengikut pada ahli dalam memanah Kesemua rukun panahan diatas perlu berhubung antara sama lain untuk bergelar seorang pemanah.
Dalam kitab-kitab rujukan memanah terdahulu ditemui bahawa para ulama' dan iman mazhab panahan ini menyimpulkan ada 5 prinsip asas yang perlu ada dalam panahan iaitu :
1.Qabd - Cara mengenggam busur
2.A'qd - Cara mengunci
3.Madd - Cara menarik
4.Itlaq - Cara melepaskan anak panah
5.Nazor - Cara melihat anak panah samada dari dalam, luar atau diantara tengah busur.
Manakala kitab memanah yang ditulis oleh Taybuga Al-Ashrafi pula menyimpulkan ada 7 perkara asas :
1.Qabd - Cara mengenggam busur
2.Tafwiq - Cara memasang anak panah pada tali busur
3.A'qd - Cara mengunci
4.Madd - Cara menarik
5.Nazor - Cara melihat anak panah samada dari dalam,luar, atau diantara tengah busur.
6.Itlaq - Cara melepaskan anak panah
7.Khatra - Follow through
Kesemua langkah-langkah memanah diatas telah direkodkan dalam penulisan tangan iaitu dalam manuskrip seawal 1368 dan teknik-teknik dalam setiap langkah-langkah diatas mempunyai kupasan terpeinci yang sangat dalam dan sangat seni oleh setiap Imam mazhab panahan.
3 Imam Mazham Panahan yang disebut dalam kitab memanah :
1.Abu hashim Al-Mawardi
2.Isyaq Raqqi
3.Tahir Al-Baqi
Untuk mengupas kesemua teknik para
imam ini dalam setiap langkah seperti diatas sangat panjang namun secara ringkasnya sebagai contoh teknik genggaman sahaja ada lebih daripada 5 teknik, begitu juga dengan teknik kuncian (a'qd) samada kuncian 63,69,73 atau 83. Teknik kuncian dan cara melepaskan anak panah (itlaq) serta khatra yang dilakukan bagi mendapatkan timing yang tepat agar setiap satunya mempunyai connection atau saling berhubungan, akan mengeluarkan satu hasil panahan yang sangat baik.
Maksud saya disini ialah panahan tradisional yang baik itu bukanlah dinilai dari ketepatan sahaja, tetapi seni panahan itu sendiri yang secara tradisi atau turun temurun sejak zaman dahulu dikekalkam sehingga mencapai tahap pahanan yang menyempurnakan 4 rukun seperti yang disebutkan diatas.
Selain daripada bentuk zahir busur tradisional itu sendiri yang menjadi pengukur kepada seni memanah tradisional ini, teknik panahan tradisional itu juga adalah elemen penting yang patut diterapkan kepada pemanah-pemanah baru yang ingin menceburkan diri dalam seni memanah tradisional ini.
"Sendi dalam panahan itu ialah, dimana anak panah kita dilepaskan ianya adalah takdir Allah SWT" Pakdin Mahidin
"Traditional archery is bridge from the past to the future" Sheikh Fuad
Pembinaan Insaniah dalam seni memanah itu adalah kejayaan sebenar seorang pemanah, bukanlah hanya ketepatan yang dicari sehingga merosakkan hati.
Memanah ini hanya medium untuk kita mencapai matlamat sebenar kita dalam memanah iaitu Redha Allah dan Hidayah Allah.Apakah ketepatan dan kemenangan kita dalam pertandingan itu lebih besar dari ini?
Kekuatan seorang pemanah itu bukan diukur pada kuatnya dia dapat menarik busur yang poundage tinggi dan bukannnya kuatnya dia dalam memanah beratus malah beribu anak panah sehari, kekuatan menyeluruh bagi seorang pemanah itu dilihat dari asas empat unsur penciptaan bumi dan manusia iaitu Angin, api, air dan tanah.
Kekuatan angin atau kekuatan Jiwa seorang pemanah itu diukur dari sifat Tenangnya
Kekuatan api atau kekuatan emosi seorang pemanah itu diukur dari sifat
Sabarnya
Kekuatan air atau kekutan Ilmu seorang pemanah itu diukur dari sifat
Ikhlasnya
Kekuatan tanah atau amal seorang pemanah itu diukur dari sifat
Redhanya